UMNO tidak akan dibawa masuk ke Sarawak...


Sarawak sekali lagi menegaskan tidak akan membawa UMNO ke negeri ini sebaliknya bersatu menjadikan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sebagai tulang belakang dalam membangunkan negeri Sarawak.

Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, sehubungan itu pembangkang dinasihati tidak menggunakan isu berkenaan kerana percaya rakyat Sarawak juga maklum mengenai perkara berkenaan.

“Saya di sini sekali lagi menegaskan bahawa kami tidak akan membawa UMNO ke Sarawak, sama ada pemimpin sekarang atau pemimpin akan datang kerana kami ada persefahaman iaitu supaya PBB menjadi tulang belakang kepada Sarawak.

“Kita ada perbezaan besar dengan UMNO dan Sarawak, di mana di negeri ini kita Bumiputera yang mempunyai latar belakang etnik berlainan sementara UMNO tidak ada pengkhususan begitu… begitu juga senario kita berbeza dengan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Persiapan Jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Zon Kuching yang dihadiri Ketua Pemuda PBB merangkap Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Sarawak Datuk Seri Fadillah Yusof dan Timbalan Ketua Wanita PBB Datuk Seri Rohani Abdul Karim di ibu pejabat PBB di sini, semalam.

Tambah Abang Johari, malahan pemimpin UMNO sendiri sudah peka dengan perkara berkenaan kerana Sarawak mempunyai tradisi serta budayanya sendiri yang perlu dijaga serta dipelihara.

“Kita tidak mahu terlibat isu kecil ini yang kita anggap ‘murah’ untuk dimainkan, pada saya dan pemimpin lain adalah lebih baik kami menumpukan kepada pembangunan ekonomi dan masa depan Sarawak.

“Saya mahu menegaskan sekali lagi di sini, bahawa pemimpin di sini bersatu kukuh dan tidak dapat diheret dengan propaganda murah ini dan kita sebagai pemimpin tahu apa yang kita lakukan dan begitu juga rakyat Sarawak tahu membezakannya,” tegasnya.

Malahan dibuktikan katanya pada pilihan raya sebelum ini, di mana rakyat masih memberi mandat kepada BN untuk menerajui negeri dan ia dibuat berdasarkan keputusan rakyat sendiri.

Mengenai seruan wakil rakyat pembangkang dari Semenanjung Malaysia yang menggesa rakyat negeri ini untuk bersama-sama tidak mengundi kerajaan BN untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Abang Johari berkata rakyat Sarawak rasional untuk menyokong pemimpin yang ikhlas membantu negeri ini.

“Saya sudah lama dalam politik dan saya tahu pemimpin pembangkang, juga pada waktu mereka berkuasa menjanjikan jalan pesisir pantai, tetapi tidak ada.

“Namun apabila Perdana Menteri sekarang ini datang, beliau terus membawa Lebuh Raya Pan Borneo, di situ kita lihat keikhlasn pemimpin… kita masih rasional maka itu kita terus menyokong, kita ada budaya orang membantu kita menyokong,” ujar Menteri Pelancongan itu.

Selain isu melaga-lagakan pemimpin dalam BN menggunakan media sosial, pembangkang juga kata beliau, menjadikan isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebagai taktik mereka.

“Bagi mereka yang rasional mereka memahami perkara ini namun ia pasti akan diputarbelitkan oleh pihak pembangkang,” katanya.

Sumber: Borneo Post