Jufazli ‎diugut 3 lelaki di restoran Sandakan dipercayai orang suruhan Menteri Sabah...


Jufazli ‎diugut 3 lelaki di restoran.

Seorang aktivis muda Sabah diganggu 3 lelaki di sebuah restoran di Sandakan hari ini dan mengancam perkara buruk akan menimpanya jika beliau terus mengkritik seorang individu ternama.

Mangsa, Jufazli Shi Ahmad, memberitahu FMT 3 lelaki itu mengekori beliau dan 2 rakannya ke restoran Secret Recipe di Batu 5, Sandakan, sekitar 2.30 petang hari ini.

“Kami tak sedar kami diekori sehinggalah selepas 15 minit kemudian.

“Saya didatangi seorang lelaki yang menyentuh pipi saya dan berkata hendak berjumpa di luar restoran.

“Tapi saya tidak melayan orang itu.”

Lima minit kemudian, lelaki bertiga itu masuk ke dalam restoran lalu melemparkan kata kesat terhadapnya.

“Mereka ancam saya dalam restoran dan cuba menimbulkan kemarahan saya. Mereka bagi amaran jangan lagi kritik seorang VIP.

“Tapi saya tak mahu melayan mereka.

“Kemudian, seorang lelaki bermisai, sekitar usia 50an, tolak kepala saya dan menjerit kepada saya lagi.

Selepas melakukan kekecohan, lelaki bertiga itu memberi amaran kepada Jufazli supaya tidak lagi mengkritik kerajaan Sabah dan bergegas meninggalkan tempat kejadian dengan menaiki kereta.

“Mereka bagi amaran kalau saya terus mengkritik, sesuatu yang buruk akan menimpa saya.”

Tidak lama selepas penyerang meninggalkan tempat kejadian, Jufazli dan 2 rakannya membuat laporan polis.

Bagaimanapun, Jufazli berkata polis tidak boleh mengesahkan sama ada mereka akan mengambil tindakan susulan ke atas laporan itu.

Jufazli tidak mengalami sebarang kecederaaan dan berkata kejadian itu tidak melemahkan semangatnya.

Beliau percaya serangan itu ada kaitan dengan siaran langsung video Facebook 1 jam sebelum kejadian yang menghubungkan beliau dengan 40,000 penyokongnya.

Jufazli, yang lantang mengkritik Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, merupakan pengasas Gerakan Anak Muda Selamatkan Sabah (GAMSS).

Bulan lepas, aktivis berusia 27 tahun itu menyatakan hasrat mahu bertanding di kubu kuat Musa di Sungai Sibuga, Sandakan, pada pilihan raya umum ke-14 nanti.

Sumber: FMT


Ikuti juga kiriman asal di Facebook beliau:
Facebook >> Jufazli Shi Ahmad

<br />