Jawapan Adenan Satem - Kenapa UMNO Tidak Perlu ke Sarawak!


Program Khas Bersama Ketua Menteri di Auditorium P. Ramlee, RTM Kuching. Jawapan Adenan Satem, kenapa UMNO Tidak Perlu ke Sarawak. Kita tidak mahu UMNO datang ke Sarawak:

Wartawan: Tan Sri begitu tegas menyatakan bahawa UMNO tidak perlu ke Sarawak. Apakah alasannya?

Adenan Satem: Kita tidak mahu UMNO datang ke Sarawak. Kita telah bincang perkara ini dengan Perdana Menteri, dia setuju UMNO tidak mahu pergi ke Sarawak. 

Dia akan memerlukan kita, tapi jawapan saya senang saja… sudah ada UMNO di Sarawak, hanya nama saja berbeza. Lagi pun kalau kita bubar PBB dan diganti dengan UMNO,  banyak salah faham akan berlaku.

Orang yang bukan Melayu,  mungkin rasa prasangka. Sekarang kita sudah bekerjasama dengan  jaya bersama orang Melayu, Iban, Bidayuh, Orang Ulu dalam PBB. Tak usah kita ubah.

Lagi pun kalau kita jadi UMNO, mungkin saya jadi Naib Presiden, beberapa orang lagi jadi ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO… satu hari mesyuarat UMNO dia kata, tak usah lagi ada dasar imigresen untuk Sarawak (kuasa imigresen), hapuskan saja.  

Mungkin kita akan bantah tapi kita tak boleh ‘over rule’ kerana majoriti akan sokong.  Jadi di Sarawak, kita nampak macam bodoh. Orang akan kata, mengapa awak serah hak ini dan kemungkinan orang Melayu akan dipulaukan oleh kaum Bumiputera yang lain.

Selagi kita percaya  apa yang baik, sepanjang masa kita dapat menang kerusi  untuk BN…. mereka tidak ada sebab untuk datang menyelamat kita.  Sebenarnya kita  yang menyelamat mereka.


Wartawan: Sejak mengambil alih kepemimpinan  kerajaan negeri  setahun lalu, apa cabaran dihadapi Tan Sri dalam aspek untuk membangunkan Sarawak?

Adenan Satem: Sejak ambil alih tampuk (kerajaan)  negeri,  kita telah membuat macam-macam keputusan yang kita percaya akan menolong rakyat.  Salah satu ialah mengubah status tanah kepada (pajakan) 99 tahun… dulu dikurangkan daripada 99 kepada 60 tahun. Ini akan menguntungkan pemaju dan orang ramai kalau nilai tanah itu naik. Kita juga sudah mengukur tanah hak adat Bumiputera (NCR) dan mewartakannya dalam masa dua tiga tahun ini… banyak lagi akan disukat (diukur) selain mengeluarkan geran hak milik tanah, dipercepatkan.

 Kita sudah menurunkan (hingga 47 peratus) caj tarif elektrik mulai 1 Januari lalu.. tarif (penggunaan) domestik dan kemungkinan besar kita juga turunkan kadar tarif (penggunaan) industri  dan komersial.  Ini mendapat sambutan baik daripada rakyat. Kalau kita beri harga (kadar) tarif istimewa kepada syarikat-syarikat asing yang beroperasi di Sarawak,  mengapa  tidak orang Sarawak biasa juga tidak boleh mendapatkan kadar istimewa.


Wartawan: Permintaan Sarawak untuk menaikkan kadar royaliti minyak daripada lima peratus kepada 20 peratus, apa perkembangan?

Adenan Satem: Kita juga sedang berunding dengan Petronas supaya meningkatkan lagi pendapatan negeri.  Setakat ini Petronas sudah setuju memberi kontrak bernilai RM2.1 bilion untuk syarikat-syarikat di Sarawak, memberi  sokongan sosial korporat RM50 juta dan kerajaan negeri menentukan projek selain membina satu Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Mengenai (permintaan) peningkatan royalti  belum selesai  lagi tapi (masih) dalam rundingan. Kemungkinan  besar  akan dinaikkan kepada 20 peratus.  Kita juga meminta ekuiti dinaikkan daripada lima peratus kepada 10 peratus dalam projek industri Gas Cecair Asli Malaysia (MLNG 4).


Wartawan:
Andai semua permintaan ini ditunai, bermakna Sarawak mempunyai banyak peruntukan. Apa rancangan Tan Sri dengan peruntukan ini?

Adenan Satem: Keuntungan yang kita dapat nanti, kita patutlah bahagi kepada rakyat, (tetapi) bukan cara BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia), tapi cara lain seperti projek. Sekarang kita nak selesai masalah bekalan elektrik untuk kawsaan luar bandar.  Lebih banyak lagi tempat di luar bandar yang tiada bekalan elektrik. Kita cuba cari cara bagaimana mengadakannya seperti  di tempat jauh. Kita sekarang boleh menurunkan harga elektrik,  kita sudah mula memperoleh pendapatan daripada royalti air.


Wartawan: Sejak memerintah, Tan Sri dilihat tidak berkompromi dengan isu pembakalan haram?

Adenan Satem: Ya… kita sekarang berjaya menumpas  beberapa orang yang mencuri kayu balak secara haram. Beberapa ratus  tan dirampas.  Kita akan meneruskannya,  tiada tolak ansur. Yang menarik ialah rakyat biasa sudah banyak menolong kita memberi  maklumat, tidak macam dulu. Kita tidak akan lagi mengeluarkan Lesen Pendudukan (OT)  balak. Kita sedang mansuhkan atau tidak melanjutkan 67 OT lagi.

Sumber: Suara PBB Sarawak