Jabatan Pendaftaran Pertubuhan ROS lulus Parti Harapan Rakyat Sabah DSP Lajim...


Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) di Putarajaya telah meluluskan pendaftaran penubuhan Parti Harapan Rakyat Sabah yang diterajui Datuk Seri Lajim Ukin.

Lajim yang ditemui selepas kelulusan berkenaan, berkata parti itu juga akan menggunakan logo Gunung Kinabalu sebagai satu tanda rasa bangga rakyat Sabah dan Malaysia.

Menurutnya, permohonan menubuhkan parti baru itu sudah dibuat pada 14 September lalu dan  telah diluluskan.

Lajim awal Oktober mengumumkan keputusannya keluar dari PKR bersama dua ADUN lain bagi memimpin sebuah pergerakan baru berasaskan parti tempatan Sabah.

Mereka ialah ADUN Moyog yang mewakili PKR dalam pilihan raya sebelum ini, Terrence Siambun dan Junz Wong (DAP - Likas).

Siambun bagaimanapun, menyatakan beliau akan menyertai Parti Warisan Sabah (WARISAN) pimpinan bekas menteri Umno Datuk Seri Shafie Apdal.

Manakala Wong belum membuat keputusan rasmi.

Lajim yang juga ADUN Klias dalam kenyataannya sebelum ini memberitahu Sabah perlu dibebaskan daripada belenggu 'simpanan tetap' kepada mana-mana kuasa politik yang "hanya mahukan sokongan rakyat Sabah untuk ke Putrajaya" tanpa menghormati sepenuhnya kedudukan negeri itu sebagai wilayah yang setaraf dengan negeri lain dalam Malaysia.


Keputusan pilihan raya Sarawak baru-baru ini juga dilihat menjadi faktor kepada Lajim serta pimpinan DAP dan PKR Sabah meninggalkan parti masing-masing.

Bercakap kepada media Lajim menjelaskan partinya itu kini dalam proses menyusun kepimpinan majlis tertingginya.

"Patrick Sadom sekarang presiden penaja (Parti Harapan Rakyat Sabah) saya dan akan ambil alih parti ini dalam masa terdekat dan akan menyusun majlis tertinggi," katanya.

Mengulas mengenai kerjasama dengan pakatan pembangkang Lajim berkata beliau tidak boleh menjanjikan apa-apa buat masa ini.

"Saya tidak boleh janjikan (kerjasama) buat masa kini kerana asas kami ialah memperjuangkan (kepentingan) Sabah terlebih dulu sebelum memikirkan membuat sebarang kerjasama dengan mana-mana parti yang berpusat di semenanjung," kata Lajim.

Sumber: MalaysiaKini