Lajim Ukin Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah...


Datuk Seri Lajim Ukin mengumumkan beliau menerajui sebuah parti baharu yang dinamakan Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) yang telah diluluskan oleh RoS.

Menurutnya, sudah tiba masanya untuk beliau mewujudkan parti khas untuk Sabah dan juga memperjuangkan hak rakyat negeri itu.

"Parti ini bertujuan untuk menuntut hak dan memperjuangkan hak rakyat Sabah iaitu dari segi ekonomi, pembangunan, hak kesamarataan dan banyak lagi perkara yang perlu dituntut.

 "Kami membawa suara rakyat Sabah yang mahu setanding dengan negeri-negeri lain," katanya ditemui di Pejabat Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS), di sini, hari ini.

Lajim Ukin sebelum ini merupakan Pengerusi Perhubungan PKR Sabah sebelum bertindak keluar dari parti tersebut awal bulan ini.

Menurut Lajim Ukin,  beliau telah hilang keyakinan terhadap kemampuan parti itu untuk mendapat sokongan rakyat Sabah dalam pilihan raya akan datang.

Tambahnya lagi, sudah tiba masanya untuk pimpinan di Sabah dipimpin oleh parti tempatan sendiri.

"Itulah harapan rakyat Sabah kini di mana mereka ingin tentukan mengikut acuan sendiri.

"Namun tidak bermakna kami tidak mahu bersama dengan Malaysia, cuma Sabah punyai lebih kebebasan untuk tentukan haluan negeri itu" katanya lagi.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan ada pimpinan PKR Sabah yang keluar parti sebelum ini, akan menyertai parti Harapan Rakyat Sabah.

Sumber: Sinar Harian