Adenan Satem - Saya jemu terhadap permintaan Sarawak kepada Kerajaan Persekutuan...


Saya Sudah Letih: Adenan Satem

Bintulu - Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem menyatakan rasa letih dan jemu terhadap permintaan Sarawak kepada Kerajaan Persekutuan bagi mendapatkan peruntukan pembangunan luar bandar.

Adenan berkata “Saya sudah letih. Saya mula jemu meminta peruntukan daripada Kerajaan Persekutuaan untuk membantu penduduk luar bandar. Mereka sering kata tidak cukup peruntukan. Ya memang benar… dan kita faham akan situasi ekonomi sekarang”.

Berikutan perkara tersebut, Adenan berkata pihaknya akan berusaha sendiri untuk mendapatkan peruntukan membina jajaran pesisir pantai yang mana apabila ia siap kelak akan menghubungkan kesemua bandar utama di Sarawak dengan kawasan luar bandar.

Untuk tujuan tersebut, James Masing dan Wong Soon Koh akan bertolak ke China untuk mendapatkan cadangan pembinaan jalan tersebut dari segi teknologi dan kaedah pembinaan yang dimiliki oleh China.

Kerajaan Sarawak pula akan menggunakan rizab simpanan RM1 bilion untuk kemudahan asas penduduk luar bandar dan menjayakan projek tersebut.

Adenan juga menyentuh perihal pembinaan keretapi laju yang mampu dibina oleh Persekutuan dan percaya mereka (Persekutuan) juga akan mampu membina jalan dan membekalkan bekalan elektrik dan air di kawasan pedalaman terutamanya di sekolah yang tidak mempunyai kemudahan asas tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Adenan juga menyatakan agar kesetiaan penduduk luar bandar terhadap BN harus dibalas dengan penyediaan infrastruktur tersebut.

Beliau menyatakan demikian ketika merasmikan persidangan Tritahunan Ke 4, Parti Rakyat Sarawak yang diadakan dekat sini.

Sumber: Berita Sabah

* * * * *

Sarawak Rancang Bina Jalan Pesisir Pantai

BINTULU: Sarawak merancang membina satu lagi jajaran jalan pesisir pantai menghubungkan semua pusat bandar bagi manfaat penduduk luar bandar di negeri ini.

Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem, berkata Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr Jemut Masing dan Menteri Kewangan Kedua Sarawak, Datuk Seri Wong Soon Koh akan ke China untuk menguruskan cadangan projek berkenaan.

"Kerajaan negeri akan cuba mencari sendiri kos untuk membiayai projek itu tanpa terlalu mengharapkan Kerajaan Pusat,"

katanya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Tri-Tahunan Ke-4, Parti Rakyat Sarawak (PRS) di sini, hari ini.

Beliau berkata, cadangan itu untuk memastikan penduduk luar bandar yang ketinggalan mendapat manfaat daripada projek kerajaan bagi membalas kesetiaan mereka kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya lalu.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri akan menggunakan rizab simpanan RM1 bilion untuk menyediakan kemudahan asas untuk penduduk luar bandar di Sarawak.

Pada persidangan berkenaan, Masing yang juga Presiden PRS akan terus menerajui parti itu untuk tempoh tiga tahun lagi selepas jawatan tertinggi parti terbabit tidak dipertandingkan.

Sumber: Berita Harian