
YAB Tan Sri Adenan Satem (Ketua Menteri Sarawak) telah kembali kerahmatullah jam 1.20 PM di Institut Jantung Negara , Kota Samarahan Kuching Sarawak.
Titipan doa buat roh Allahyarham dan salam Takziah kepada keluarga Allahyarham. Merasa kehilangan seorang sahabat dan pemimpin yang dekat dihati rakyat Sarawak juga Sabah. Moga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham.
Al-Fatihah. - Lajim Ukin

Adenan Satem Meninggal Dunia
Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, 72, meninggal dunia akibat komplikasi jantung di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak (HUS), Kota Samarahan, jam 1.30 tengah hari tadi.
Ini disahkan Menteri Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Dr Sim Kui Hian, yang juga pakar kardiologi dan berpengalaman merawat pemimpin veteran itu.
Adenan yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak, dimasukkan ke Pusat Jantung HUS kelmarin selepas mengadu mengalami keletihan melampau dan kesukaran bernafas.
Antara yang terawal menziarahi jenazah Adenan ialah Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud yang bergegas ke Pusat Jantung HUS sejurus dimaklumkan berita berkenaan.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Abang Johari Abang Openg, dijadualkan mengadakan sidang media berhubung kematian Adenan di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya jam 3.30 petang ini.
Ia dijadual dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Morshidi Abdul Ghani. Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, adalah antara yang pertama mengucapkan takziah kepada keluarga Tan Sri Adenan Satem sejurus berita kematian Ketua Menteri Sarawak itu disahkan.
"Takziah kepada Puan Sri Jamilah & keluarga & rakyat negeri Sarawak atas kembalinya ke rahmatullah Ketua Menteri TS Adenan Satem. Al Fatihah."
Sumber: Berita Harian
* * * * *
Adenan Satem Meninggal Dunia Pada Usia 72 Tahun
Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem hari ini meninggal dunia pada usia 72 tahun.
Adenan yang juga adalah Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak, dimasukkan ke Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak, Kota Samarahan, kelmarin selepas mengadu mengalami keletihan melampau dan kesukaran bernafas.
Meskipun belum diketahui punca kematian, Adenan sebelum ini memberitahu beliau mengalami masalah jantung sejak empat tahun lalu.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Abang Johari Abang Openg, dijadualkan mengadakan sidang media di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya jam 3.30 petang ini bagi mengumumkan butirannya.
Antara yang terawal menziarahi jenazah Adenan ialah Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud yang bergegas ke Pusat Jantung HUS sejurus dimaklumkan berita berkenaan.
Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak turut memberikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham di laman Twitternya.
Adenan mengambil alih jawatan ketua menteri Sarawak daripada Tan Sri Taib Mahmud pada 2014.
Beliau memulakan kerjaya politik pada 1979 apabila memenangi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Muara Tuang.
Beliau kemudian mengekalkan kerusi itu dalam enam pilihan raya negeri berikutnya sebelum memenangi Pilihan Raya Parlimen ke-11 bagi kerusi Batang Sadong.
Berikutan kemenangannya dalam pilihan raya parlimen, Adenan dilantik sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar di peringkat persekutuan pada 2004 sebelum kembali ke arena politik Sarawak untuk bertanding pilihan raya negeri pada 2006 dan memenangi kerusi DUN Tanjung Datu.
Beliau dilantik sebagai penasihat khas kepada Ketua Menteri pada 2010, diikuti dengan pelantikan sebagai Menteri Tugas-tugas Khas Sarawak pada 2011 setelah berjaya mengekalkan kerusi DUN Tanjung Datu dalam pilihan raya negeri pada tahun berkenaan.
Sebelum menceburi bidang politik, Adenan pernah bergelar wartawan apabila menyertai akhbar tempatan, 'Sarawak Tribune', dan kemudian meneruskan pengajian dalam bidang undang-undang di Adelaide University, Australia.
Sumber: MalaysiaKini